#Family_Chat Webnet
Home
Laporan Lawatan Ke Kuala Lumpur

Home Galeri Gambar (1 -- 2) | Sehari Bersama 6AU | Biodata Pelajar 6AU | Jadual Waktu 6AU | Nujum | Seloka 6AU | Laporan Lawatan Ke Kuala Lumpur | Interaktif 6AUNEW WINDOW
Galeri Gambar ex-6AU 2002 (Gathering -- Special)

LAPORAN LAWATAN PERSATUAN GEOGRAFI SENIOR KE KUALA LUMPUR.
FINALLY, GEOGRAFI SENIOR SOCIETY HAS COME BACK TO KUALA LUMPUR!
KL! WHAT?
 
 
          Pada 28 April 2002, Persatuan Geografi Senior SMKT telah mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur. Seramai 40 orang peserta telah mengikuti lawatan ini yang diiringi oleh Cikgu Abu Sufian selaku ketua rombongan, Cikgu Zaki, dan Cikgu Roslinda. Cikgu Abu turut membawa seorang anaknya untuk turut serta bersama kami. Apa yang menyedihkan kami ialah Cikgu Zainab dan Cikgu Zaiton tidak dapat bersama disisi kami kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.
 
          Lawatan ini tidak mempunyai peraturan yang khusus. Peserta adalah bebas untuk ke mana-mana hala tuju masing-masing asalkan apabila tamat masa lawatan semua peserta hendaklah berada di dalam bas. Kami semua bertolak dari sekolah menaiki Bas Vani Travel Sdn. Bhd. pada pukul 6.30 pagi. Kemudian, kami singgah di Genting Sempah untuk mengisi perut yang kosong.
 
 
10.00 pagi * KLCC
 
          Setibanya di KLCC, ramai diantara kami yang berasa kagum dengan bagunan tertinggi di dunia itu hinggakan ada juga peserta yang sakit tengkuk kerana melihat bagunan itu. Di dalam KLCC pula, kami tidak ketinggalan untuk menyaksikan Pertandingan Ratu Cilik Pakaian Berhias yang terdiri daripada kanak-kanak yang comel anjuran AVON. Terdapat juga kawan kami yang berwindow shopping di KLCC. Kami juga turut tidak melepaskan peluang untuk berjalan di Jejantas Udara KLCC. Kami berasa terawang-awangan dan ada juga di antara kami yang mengatakan seolah-olah seperti berada di kayangan!
 
 
12.00 tengah hari * Petrosains
 
          Petrosains merupakan tempat yang paling menarik bagi kami bertepatan dengan mata pelajaran yang kami pelajari iaitu Geografi. Di sini, kami dapat mempelajari ilmu sains dan teknologi dengan lebih mendalam lagi. Kami berkampung di Petrosains selama 2 jam dan dibawa oleh jurupandu yang cantik seperti bidadari. Sebelum itu, kami menaiki kenderaan Sepintas Lalu dalam suasana yang gelap. Kemudian, kami menaiki helikoper simulasi untuk pergi ke Pelantar Minyak Kerteh, Terengganu. Satu pengalaman yang mendebarkan. Kebetulan pula di Petrosains terdapat kereta lumba F1 Sauber Petronas. Ramai di antara kami mengambil kesempatan untuk bergambar. Peminat setia Sauber Petronas dari kelas 6AU, Abu Hurairah, Norhasrul Nizam, Hasrizal, Massuan, dan Muhaimin tidak melepaskan peluang untuk mencuba Pit Stop Sauber Petronas. Mereka diberi tempoh untuk menukar tayar kereta Sauber Petronas dalam masa yang terpantas menyebabkan tayar bergolek entah ke mana dan Norhasrul Nizam pula mengadu sakit-sakit tangan. Terdapat juga peserta menghabiskan masa secara berpasangan seperti Budin bersama Norliana. Sementara Joe pula bersama Norilyana dan Cikgu Zaki bersama Cikgu Roslinda. Percayalah, anda tidak akan berasa kecewa apabila melawat ke Petrosains!
 
 
2.00 petang * Putrajaya
 
          Sebaik sahaja bas kami melalui berhampiran Putrajaya, kami terpegun dengan seni bina dan landskapnya yang indah. Apabila kami turun dari bas, kami tersentak dengan cuacanya yang sangat panas berbanding cuaca di Temerloh. Tidak cukup dengan cuaca yang panas, kami terpaksa pula berjalan kaki kira-kira 200 meter untuk ke Seri Perdana menyebabkan keringat membasahi dahi kami. Sesudah berjalan kaki, kami akhirnya sampai ke Seri Perdana. Apa yang menarik, kami terserempak dengan pelancong dari Taiwan dan mereka mengundang kami untuk bergambar bersama mereka. Mungkin mereka tertarik dengan kekacakan dan kecantikan orang-orang Malaysia. Kami sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari menyebabkan kami lari-lari kecil mencari tempat berteduh. Sungguh pelik cuaca di sini. Tadi panas terik, sekarang hujan renyai pula. Satu perubahan cuaca yang mendadak. Kami singgah di gerai makan yang terdapat di Putrajaya untuk menunggu hujan kembali reda. Kami terkejut dengan harga makanan yang sangat mahal. Contohnya, harga roti canai di Putrajaya ialah RM4.00 sekeping! Apabila hujan reda, kami pergi melihat-lihat persekitaran Masjid Putrajaya dan melakukan solat Zohor. Arul, Anbanan and The Gang selalu sahaja terlewat untuk menaiki bas apabila masa sudah tamat.
 
 
6.00 petang * Mines Wonderland
 
          Mines Wonderland adalah tempat bagi kami untuk membeli-belah. Mata kami dikaburi dengan barang-barang yang cantik dan menarik. Kami pergi ke kedai Reject Shop yang menjual barang-barang reject dengan menawarkan harga sangat sangat murah. Namun, kami tidak membeli di kedai itu kerana kebanyakkan barangnya sudah rosak. Kami tidak melepaskan peluang untuk melihat anak-anak muda bermain luncur ais yang menjadi satu tarikan utama di tempat ini. Sesudah penat membeli-belah, kami menjamu selera di Medan Selera yang terdapat di sana. Kami turut mencuba untuk menaiki water taxi sambil melihat ikan-ikan besar bermain riang di dalam air membuatkan kami berasa geram untuk memancing. Nadia, Sazura, dan Azila telah tersesat di Mines Wonderland menyebabkan Abu dan Hisyam terpaksa terpaksa mencari mereka. Mujur jumpa!
 
 
8.30 malam * PWTC
 
          Kami pergi ke PWTC bersesuaian dengan Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan ketika itu. Pameran itu disertai oleh syarikat buku dari seluruh dunia dan syarikat buku ternama tempatan. Kami bertemu kartunis Ujang dan kartunis Rejab Had yang berkarya untuk majalah Gila-Gila. Kami membeli cenderahati Ujang berupa VCD dan bahan bacaan lain yang terdapat di situ seperti buku rujukan dan novel. Sesuatu perkara yang tidak terduga berlaku. Kami telah terserempak dengan Perempuan Melayu Tercantik iaitu Normala Samsudin. Kami tidak dapat untuk mendekati beliau kerana beliau dikawal ketat oleh beberapa orang bodyguard. Joe dapat melihat beliau dalam jarak 4 meter. Memang cantik orangnya!
 
 
10.30 malam * Bertolak Pulang Ke Temerloh
 
          Cikgu Abu telah demam selesema kerana tidak tahan dengan kesejukkan air-cond di dalam bas dan karenah kami yang mencapai tahap kritikal. Hubungan Cikgu Zaki dan Cikgu Roslinda pula semakin erat selepas menyertai rombongan bersama kami yang dipenuhi dengan keriangan. Semasa dalam perjalanan pulang, Hasrizal telah menyumbangkan suaranya dengan berkaraoke sakan di dalam bas untuk mengiburkan kami. Sejarah telah tercipta apabila keesokkan harinya lebih separuh pelajar kelas 6AU tidak hadir ke sekolah. Puan Zainab pening kepala...
 
 
(Laporan ini dimuatkan dalam Majalah Detik SMK Temerloh 2002)

Bergambar kat Putrajaya semasa lawatan Persatuan Geografi Senior 2002. Nampak Dr. Mahathir melambai-lambai tangan kat kita dari tingkap! Hehehehe...

Bergambarlatarkan KLCC semasa lawatan Persatuan Geografi Senior 2002.
Depan dari Kiri: Herda, Elly, Hahtum (6AJ).
Belakang dari kiri: Naza Schumacher & Wahid (6AO), Arul, & (Ntah, lupa dah aku ngan nama dia nih!).

Please Report An Error In This Page To Webmaster